Aktiviti
13th Global Waqf Conference 2025
27-11-2025

Rabat, 27 November 2025 - 13th Global Waqf Conference 2025 di Maghribi telah melabuhkan tirainya selepas tiga hari penganjuran yang penuh berimpak, termasuk lawatan bermakna ke Universiti Al-Qarawiyyin di Fez, sebuah universiti wakaf dan universiti pertama di dunia.

Bertempat di Institut Dar El-Hadith El-Hassania, persidangan ini menghimpunkan para peserta dari 14 buah negara, disatukan oleh misi bersama untuk memperkukuh dan memartabatkan ekosistem wakaf di peringkat global.

Majlis Pembukaan 13th Global Waqf Conference telah disempurnakan oleh HE Prof. Ahmed Tawfiq, Menteri Awqaf dan Hal Ehwal Islam Maghribi, yang diikuti dengan ucap utama oleh YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Pada hari kedua penganjuran, wakil Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) iaitu Puan Nur Syaffina binti Ab Rahim, Pengurus Bahagian Dasar dan Pembangunan mewakili Ketua Pegawai Eksekutif, diberi peluang untuk membuat perbentangan bertajuk 'The Strategic Role of YWM in Advancing the SDG Agenda'. Turut bersama dalam sesi ini ialah wakil-wakil dari Uzbekistan, Singapura dan Maghrib. Kesempatan ini telah membawa YWM ke peringkat yang lebih tinggi, terutamanya di pentas antarabangsa.

YWM selaku penganjur bersama merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada rakan penganjur iaitu World Zakat & Waqf Forum, Universiti Kebangsaan Malaysia dan UNITAR International University atas kerjasama erat yang diberikan.

Setulus penghargaan juga ditujukan kepada penyokong utama iaitu Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Islam Kerajaan Maghribi serta Pejabat Kedutaan Malaysia di Maghribi.


Kongsi Kongsi