Aktiviti
Majlis Pecah Tanah Pembangunan Hospital Pakar Patuh Syariah Bercirikan Wakaf
30-09-2025

Semenyih, 30 September 2025 - Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) dengan kerjasama Highfield Healthcare Sdn. Bhd. telah melakar sejarah melalui Majlis Pecah Tanah Hospital Pakar Patuh Syariah Bercirikan Wakaf Pertama di Malaysia.

Majlis telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof, Timbalan Perdana Menteri Malaysia dan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, bersama-sama YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YWM. Turut bersama YBrs. Dr. Ridzwan bin Bakar, Ketua Pegawai Eksekutif YWM dan YBhg. Profesor Datuk Dr. Ajaz Ahmad bin Nabijan, Pengerusi Highfield Healthcare Sdn. Bhd. dalam majlis ini adalah YB Tuan Mohd Sany bin Hamzan (Ahli Parlimen Hulu Langat), YBrs. Tuan Mohd Husni bin Abd. Shukor, Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pakar An-Nur, YBrs. Tuan Haizar Razif Hisyam bin Ajaz Nabijan, Ketua Pegawai Eksekutif Highfield Healthcare Sdn. Bhd. dan para dif kehormat.

Hospital ini menjadi inisiatif nasional memperkasa sektor kesihatan berasaskan wakaf, seiring gagasan Malaysia MADANI dan agenda Transformasi Al-Falah yang menekankan kesejahteraan rakyat, nilai ihsan dan pembangunan seimbang fizikal serta rohani. Hospital ini juga bakal dilengkapi kemudahan mesra ibadah seperti ruang solat, panduan ibadah pesakit, kemudahan tayamum, sokongan kerohanian dan al-Quran digital di setiap wad, menjadikan rawatan lebih menyeluruh meliputi aspek fizikal dan rohani.

YWM merancang memperluaskan model ini ke seluruh negeri melalui pembinaan hospital pakar, pusat dialisis dan pusat rehabilitasi berasaskan wakaf, demi memperkukuh ekosistem wakaf serta meningkatkan akses kesihatan berkualiti untuk rakyat.

Majlis pecah tanah ini menjadi simbolik kepada bukti kesungguhan Kerajaan MADANI dalam memperkukuhkan ekosistem wakaf nasional kearah merealisasikan negara yang berdaya maju, terampil, dan inklusif melalui pendekatan yang berlandaskan nilai-nilai kemanusiaan yang menjamin kesejahteraan rakyat.


Kongsi Kongsi