Aktiviti
Penyertaan Yayasan Waqaf Malaysia Dalam Program MADANI Rakyat 2025 Kedah
06-09-2025

Baling, 6 September 2025 - Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) dan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad sekali lagi telah dijemput oleh Jabatan Perdana Menteri (JPM) melalui Unit Komunikasi Korporat selaku penyelaras reruai JPM untuk bersama-sama menjayakan Program Madani Rakyat (PMR) 2025. Bertempat di Kompleks Sukan Majlis Daerah Baling, petugas YWM telah berkampung selama tiga hari bermula 4 - 6 September 2025 bagi menjayakan PMR 2025 Kedah.

Bertemakan “Rakyat Prihatin, Negara Aman, Masa Depan Terjamin”, PMR 2025 Kedah telah dibawakan oleh Kementerian Dalam Negeri bersama Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan, JPM. Majlis perasmian penutupan program ini disempurnakan oleh YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri. Turut hadir bersama adalah YAB Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah serta YAB Dato' Seri Haji Muhammad Sanusi bin Md Nor, Menteri Besar Kedah.

Bagi edisi kali ini, catatan telah merekodkan kehadiran 127,535 pengunjung. Orang ramai pastinya tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan perkhidmatan dan aktiviti yang ditawarkan disepanjang program ini seperti Jualan Rahmah MADANI, diskaun saman trafik Polis Diraja Malaysia, peluang pekerjaan, program pertukaran topi keledar, pertukaran minyak enjin motosikal, perkhidmatan gunting rambut secara percuma serta pelbagai lagi.

Terima kasih diucapkan kepada semua pengunjung yang singgah di reruai A12 JPM sepanjang penganjuran ini berlangsung. Disamping berhibur dengan menyertai Kuiz Kahoot anjuran YWM, masyarakat juga dapat menimba ilmu seterusnya melaksanakan ibadah wakaf. Semoga sumbangan yang diberikan akan mendapat keberkatan dan ganjaran daripada Allah SWT.


Kongsi Kongsi