Aktiviti
Pembukaan Kaunter Wakaf Yayasan Waqaf Malaysia Sempena Majlis Tilawah & Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa 2025
09-08-2025

Kuala Lumpur, 9 Ogos 2025 - Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) telah berpeluang untuk membuka kaunter wakaf sempena penganjuran Majlis Tilawah & Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa 2025 yang berlangsung bermula 2 Ogos hingga 9 Ogos 2025 di World Trade Centre Kuala Lumpur. Program ini bukan sahaja menjadi medan pertemuan qari, qariah dan huffaz terbaik dari seluruh dunia, malah menjadi platform menyemarakkan semangat kecintaan kepada Al-Quran.

Lebih istimewa, YBhg. Dato’ Selamat bin Paigo, Ketua Pengarah Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji merangkap Naib Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YWM, turut meluangkan masa singgah ke reruai YWM bagi meninjau usaha promosi dan pengumpulan dana wakaf yang giat dijalankan. Kehadiran beliau memberi suntikan semangat kepada warga kerja YWM yang bertugas.

Dalam majlis penuh keberkatan ini, YWM merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada para pemenang:

  • Saudara Aiman Ridhwan bin Mohamad Ramlan – Johan Kategori Tilawah Lelaki
  • Saudari Wan Sofea Aini binti Wan Mohd Zahidi – Johan Kategori Tilawah Wanita
  • Saudari Putri Auni Khadijah binti Mohd Hanif – Naib Johan Kategori Hafazan Wanita

Terima kasih tidak terhingga kepada semua pengunjung yang singgah dan para pewakaf yang menghulurkan sumbangan wakaf tunai demi kelestarian pembangunan ummah di Malaysia. Semoga setiap titipan wakaf menjadi aliran pahala tanpa henti hingga ke akhirat kelak.

Sedikit coretan hati: “Al-Quran adalah cahaya yang menyinari, wakaf adalah amal yang mengaliri. Apabila keduanya bersatu di bumi, lahirlah keberkatan yang mengharumi akhirat.”

Majlis telah melabuhkan tirainya, namun semangat berwakaf tidak pernah berakhir. YWM akan terus membawa misi ini ke setiap pelosok tanah air kerana kami percaya, wakaf adalah warisan yang menghidupkan jiwa dan membina masa depan ummah.


Kongsi Kongsi