RM889,493.65 Diagihkan kepada Lapan Majlis Agama Islam Negeri bagi Tahun 2024
10-07-2025Putrajaya, 10 Julai 2025 - Sejajar dengan aspirasi Kerajaan menjadikan wakaf sebagai instrumen utama dalam memperkukuh sosioekonomi ummah, Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) kekal komited dan proaktif dalam memperkasa kutipan serta agihan wakaf tunai di seluruh negara. Sebagai entiti wakaf di peringkat Persekutuan, YWM memainkan peranan sebagai pelengkap kepada usaha Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dalam aspek pembangunan dan pengurusan harta wakaf secara bersepadu dan berstrategik.
Selaras dengan kelulusan kod potongan gaji wakaf kepada YWM, inisiatif ini membolehkan penjawat awam Persekutuan melaksanakan ibadah wakaf secara berkala dengan lebih mudah dan sistematik. Usaha ini turut diperkukuh melalui sokongan Kerajaan menerusi Pekeliling Am Bil. 1 Tahun 2020: Tatacara Pelaksanaan Sumbangan Wakaf Tunai Melalui Potongan Gaji Secara Sukarela bagi Pegawai Awam yang berkhidmat di Wilayah Persekutuan dan Negeri.
Hasil pelaksanaan inisiatif ini, sebanyak lapan MAIN telah bersetuju untuk mengguna pakai kod potongan gaji wakaf YWM. Pendekatan ini memudahkan penjawat awam Persekutuan yang berkhidmat di negeri-negeri tersebut untuk berwakaf secara konsisten, dengan memilih agar sumbangan wakaf disalurkan terus ke MAIN negeri masing-masing. Agihan dana wakaf ini dilaksanakan oleh YWM kepada MAIN terlibat secara suku tahunan. Sehingga kini, MAIN yang terlibat ialah Kedah, Johor, Terengganu, Melaka, Sabah, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan dan Perlis.
Menerusi majlis ini, YB Senator Dato' Setia Dr. Naim bin Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YWM telahmenyempurnakan simbolik penyerahan cek cura agihan Dana Wakaf Tunai Malaysia bagi tahun 2024 kepada MAIN yang berkaitan dengan nilai agihan keseluruhan berjumlah RM889,493.65. Agihan ini bukan sahaja memberi impak signifikan kepada agenda pemerkasaan bumiputera, malah memperkukuh hubungan erat antara agensi di peringkat Persekutuan dan Negeri dalam memperluas penerimaan, pengurusan dan agihan wakaf tunai secara sistematik dan berimpak tinggi.
Kerjasama berterusan ini diyakini akan menyumbang kepada perkembangan ekonomi, kesejahteraan sosial masyarakat dan kemampanan wakaf di Malaysia, seiring dengan gagasan Membangun Malaysia MADANI yang diilhamkan oleh YAB Perdana Menteri. YWM turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pewakaf yang sentiasa menyokong inisiatif wakaf di bawah YWM.

TERKINI

Karnival Al-Falah MADANI Indera Mahkota 2025
29-06-2025Kongsi Kongsi