Aktiviti
Ziarah Inspirasi ke MADAD – Model Pembangunan Ummah Bersepadu
25-04-2025

Sungai Petani, 24 April 2025 – Team YWM yang diketuai YBrs. Dr Ridzwan bin Bakar, Ketua Pegawai Eksekutif YWM hari ini menziarahi Murtadha Dakwah Centre (MADAD) yang merupakan pusat dakwah dan pembangunan komuniti yang dibina atas tanah seluas lebih kurang 13 ekar.

Dalam lawatan yang diiringi oleh Ustazah Zuraidah dengan menaiki buggy, para peserta berpeluang menyelusuri pelbagai fasiliti hebat yang disediakan oleh MADAD. Antara kemudahan utama yang ditawarkan termasuk Masjid 3 Tingkat MADAD yang mampu menampung antara 1,000 hingga 1,200 jemaah pada satu masa serta turut berfungsi sebagai lokasi bagi majlis-majlis ilmu.

MADAD juga menyediakan Rumah Tamu Percuma untuk para musafir yang ingin bermalam, manakala Rumah Kuda MADAD yang menempatkan 15 hingga 20 ekor kuda juga dijadikan sebahagian daripada silibus akademik institusi tersebut. Selain itu, Rumah Kucing MADAD pula berperanan merawat kucing terbiar sambil menyediakan elemen terapi dan kasih sayang kepada komuniti.

Turut diperkenalkan ialah Kilang Jam Azan MADAD yang menghasilkan produk inovatif berasaskan dakwah, serta Rumah Kahwin yang boleh disewa untuk majlis perkahwinan. Dewan Makan MADAD pula menyediakan sajian percuma kepada peserta majlis ilmu, yang mencecah 2,000 hingga 3,000 orang pada satu-satu masa.

Bagi golongan kanak-kanak, Edukids MADAD yang dikenali sebagai “Kidzania versi Islamik” memberi peluang kepada anak-anak untuk memahami peranan mereka dalam masyarakat Islam.

MADAD turut merancang pembangunan sebuah dewan kuliah khas sebagai usaha berterusan untuk memperkukuh peranan ilmu dalam pembangunan ummah.

Syabas diucapkan kepada MADAD atas pendekatan holistik yang dilaksanakan, menjadikannya contoh unggul dalam pengurusan serta pembangunan komuniti Islam.


Kongsi Kongsi